Thursday, 4 October 2012

Seri Bunga Tangan Pengantin


DALAM adat perkahwinan Inggeris, kebanyakan mereka percaya jika wanita bujang menangkap bunga tangan yang dicampak pengantin perempuan, mereka bakal mendirikan rumah tangga selepas itu. Begitu sinonimnya bunga tangan dalam perkahwinan tanpa mengira warna kulit, bangsa atau agama, jambangan ini menjadi kemestian dan pelengkap penampilan ketika bergelar raja sehari.

Selain menaikkan seri pengantin, genggaman erat jambangan bunga mampu mengurangkan rasa gugup ketika di hadapan tetamu.

Daripada bunga tangan tiruan berasaskan plastik, getah dan kain, kemudian beralih kepada gaya bunga segar, kini hasil kreativiti penggubah semakin meningkat dengan tercipta pelbagai jenis bunga genggam berasaskan campuran fabrik felt, denim, kapas, sifon dan butang. 

Menurut penggubah bunga tangan, Norliza Samingon, 33, idea menghasilkan bunga tangan menggunakan pelbagai fabrik dan butang ini bermula selepas menyedari keinginan mempelai inginkan sesuatu yang berbeza. Dia yang sebelum ini menjalankan perniagaan dalam talian menjual rantai kunci, pelekat bermagnet peti sejuk, aksesori rambut dan pakaian daripada felt teruja mencari kelainan dengan menghasilkan bunga tangan. 

“Flanel atau felt adalah sejenis fabrik diperbuat daripada serat wol tanpa ditenun. Proses pembuatan kain felt menerusi proses pemanasan dan pengewapan sehingga menghasilkan pelbagai jenis felt, bergantung kepada campuran bahan pembuatnya. Felt ialah sejenis kain tertua dalam sejarah manusia, lebih tua daripada kain tenun,” katanya.

Memandangkan kain felt sukar didapati di pasaran Malaysia, Norliza mendapatkannya menerusi Internet, tetapi kini sudah ramai peniaga menjualnya. Harga untuk satu meter dianggarkan di antara RM16 hingga RM20, bergantung kepada kualiti.

“Lebih mahal kain, lebih cantik barang dihasilkan dan tahan lebih lama, tetapi ketelitian dalam jahitan menjadi asas penting jika ingin mengambil tempahan,” katanya.

Oleh kerana sudah ramai individu menghasilkan kraf tangan berasaskan felt, Norliza mula beralih kepada penghasilan bunga tangan menggunakan campuran fabrik dan butang. Mula memperkenalkanya menerusi blog, ternyata ia membuahkan hasil kerana ramai meminatinya dan memberikan maklum balas positif.

“Ini kerana bunga tangan ini bukan saja menjadi trend kepada pasangan yang ingin melangsungkan pertunangan atau perkahwinan, tetapi ramai di kalangan pelanggan gemar menjadikannya hiasan untuk penggambaran sebelum perkahwinan. Malah ada juga yang meminta saya menghasilkannya untuk majlis konvokesyen atau pemberian kepada rakan,” jelasnya yang bertugas sebagai perunding teknologi di sebuah syarikat swasta.

Norliza memberitahu, idea menghasilkan bunga tangan datang daripada pelbagai sumber, termasuk Internet, buku dan pemerhatian terhadap alam sekeliling. Kemudian, dia memikirkan jenis fabrik serta gabungan warna pada bunga diinginkan. Ada juga pelanggan yang memberikan idea mereka sendiri.

“Saya percaya apa saja yang ada di sekeliling boleh dijadikan ilham jika kita bijak menggunakan kreativiti. Selalunya lakaran dibuat di kertas kemudian dipindahkan ke fabrik. Adakalanya tempahan diinginkan pelanggan agak sukar dan saya mengambil masa berhari-hari menyiapkannya.

“Sebab itu saya meminta pelanggan membuat tempahan awal bagi mengelak bunga tangan disiapkan pada saat-saat akhir,” ujarnya yang memilih fabrik berwarna terang kerana lebih cantik dan menarik di dalam gambar.

No comments:

Post a Comment